Beliau berkata, logam berharga itu boleh digunakan untuk menilai aktiviti import dan eksport dalam kalangan negara di Asia Timur.
"Kita boleh membuat penyelesaian menggunakan mata wang (baharu) ini (emas). Mata wang itu perlu berkait dengan mata wang tempatan sebagai rujukan kepada kadar tukaran, sesuatu yang boleh dikaitkan dengan prestasi sesebuah negara.

"Berdasarkan kaedah ini, kita akan tahu jumlah hutang, jumlah yang perlu dibayar dalam mata wang khas Asia Timur," katanya pada sesi dialog Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia (Nikkei Conference) di sini hari ini.
Mahathir tiba di Tokyo semalam untuk lawatan kerja tiga hari. 
“Di timur jauh, jika anda mahu bersatu, kita patut mulakan dengan mata wang seragam untuk perdagangan, bukan untuk penggunaan dalam negara, sebaliknya untuk tujuan penyelesaian dagangan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini pasaran global terikat kepada dolar US, yang membuka ruang untuk dimanipulasi.

“Hanya kerana sebuah negara terjejas, ia menular ke negara lain. Kedudukan Malaysia sangat stabil pada 1997... namun disebabkan masalah berlaku di Thailand (ketika krisis kewangan Asia), mereka berkata Malaysia juga perlu menambat mata wangnya.

“Apa berlaku? Pedagang mata wang menjual mata wang Malaysia, menyebabkan mata wang Malaysia susut nilai.

“Mereka tiada pun wang, mereka tidak ada pun mata wang Malaysia, namun mereka dapat menjual kuantiti besar mata wang Malaysia, dan apabila harga jatuh, sudah pasti mereka membeli dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi apabila nilainya meningkat.

“Apabila susut nilai, sudah pasti anda boleh membeli dan menjual pada harga yang lebih tinggi apabila harga meningkat. Dagangan mata wang ini bukanlah sesuatu yang sihat kerana ia bukan menunjukkan prestasi (ekonomi) sesebuah negara, sebaliknya ia adalah manipulasi.

“Apa saja yang ada berlebihan, akan hilang nilainya. Jika bekalan kurang, nilai akan meningkat dan mereka jual dalam kuantiti wang yang besar yang mereka tidak ada pun, dan disebabkan jumlahnya sangat besar, berlakulah penyusutan nilai,” katanya.

Video Keynotes : Tun M Di Jepun